Sunday, 24 April 2011

apakah al-quran?

  1. Al-Quran ialah Kitab Suci yang terakhir diturunkan oleh Allah S.W.T.
  2. Kitab Suci Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W.
  3. Kitab Suci Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. melalui Malaikat Jibril a.s.
  4. Kitab Suci diturunkan dalam bahasa Arab.
  5. Membaca Kitab Suci Al-Quran adalah suatu ibadat.
rukun iman


  1. Erti iman ialah percaya dengan yakin.
  2. Tidak sempurna Islam seseorang kiranya tidak beriman.
  3. Oleh yang demikian, orang Islam hendaklah mempercayai Rukun Iman yang terdapat di dalam Islam.
  4. Terdapat sebanyak enam perkara di dalam Rukun Iman yang wajib dipercayai oleh orang Islam.
  5. Rukun Iman yang wajib dipercayai ialah:

    (a) Percaya kepada Allah.
    (b) Percaya kepada Malaikat.
    (c) Percaya kepada Kitab Allah.
    (d) Percaya kepada Rasul.
    (e) Percaya kepada Hari Akhirat.
    (f) Percaya kepada Qada dan Qadar.

 

cara sembahyang

untuk lelaki

  1. Lelaki hendaklah merenggangkan kedua-dua tangan dari ketiaknya ketika mengangkat takbir.

  2. Lelaki hendaklah merenggangkan kedua-dua paha dari perutnya ketika sujud.

  3. Lelaki boleh menyaringkan atau menguatkan bacaan ketika sembahyang.

  4. Jika sembahyang berimam, orang lelaki boleh mengingatkan imam yang terlupa atau tersilap dengan menyebut "Subhanallah" dengan niat berzikir.

  5. Aurat lelaki adalah di antara pusat dan lutut.
untuk perempuan
  1. Perempuan perlu merapatkan kedua-dua tangannya ketika mengangkat takbir.

  2. Perempuan perlu merapatkan kedua-dua paha ke perutnya ketika sujud.

  3. Perempuan tidak boleh menyaringkan atau menguatkan bacaan dalam sembahyang.

  4. Perempuan hanya boleh menegur atau mengingatkan imam dengan cara menepuk tangan kirinya seberapa kerap sekalipun.

  5. Aurat perempuan adalah seluruh tubuhnya, kecuali muka dan tapak tangannya.

Saturday, 23 April 2011

budak nakal mengembala biri-biri

     Seorang budak nakal disuruh oleh bapanya supaya menjaga sekawan biri-biri.

      "Hari ini, ayah hendak pergi ke kebun. Kamu tolong jaga biri-biri. Bawa biri-biri itu pergi makan rumput di padang," kata bapanya.
Budak nakal itu membawa biri-biri tersebut ke padang. Dia malas hendak mengembala biri-biri itu.

      Apabila tiba di padang, timbul niat dalam hatinya hendak memperolok-olokkan orang kampung.
  "Tolong! Tolong! Serigala hendak makan biri-biri saya," dia menjerit dengan sekuat hati. Beberapa orang kampung datang untuk memberikan pertolongan.    "Saya hanya olok-olok sahaja," kata budak nakal itu lagi.

        Orang kampung segera pulang

      "Ha! Ha! Ha!" budak nakal itu ketawa.                          Tidak lama kemudian, mereka mendengar budak nakal itu menjerit meminta pertolongan sekali lagi. Mereka segera datang. Tetapi rupa-rupanya budak nakal itu berolok-olok sekali lagi.

      Mereka pun terus pulang.
Sejurus selepas itu, seekor serigala datang.

      Budak nakal itu menjerit-jerit meminta pertolongan. Tetapi orang kampung tidak datang lagi. Mereka menyangka budak nakal itu hanyalah berolok-olok sahaja.                                                   

   Budak nakal itu berasa sangat menyesal. Beberapa ekor biri-birinya mati dibaham serigala. Itulah akibat jika suka berolok-olok.                                                     NILAI MURNI

      Jangan sekali-kali cuba bercakap bohong. Walaupun sekali sahaja kita berbohong, orang tidak akan percaya lagi untuk selama-lamanya.

      Jikalau kita selalu bercakap benar, kita akan sentiasa dipercayai dan dipandang mulia.

doa di akhir sembahyang (sesudah tahiyyat sebelum salam)


      "Wahai Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada Engkau daripada azab kubur, dan kami berlindung kepada Engkau daripada gangguan dajal, dan kami berlindung kepada Engkau daripada tipu daya hidup dan kematian. Wahai Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada Engkau daripada berbagai-bagai sumber dosa dan kesukaran hidup."

Friday, 22 April 2011

adab mendengar azan

  1. Berdiam diri.

  2. Menjawab seruan azan.

  3. Berdoa setelah selesai azan.

  4. Berdoa memohon hajat kerana doa antara azan dengan qamat dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

apabila mendapat mimpi buruk

Rasulullah S.A.W. bersabda:

      "Mimpi yang baik itu daripada Allah dan mimpi yang buruk itu daripada syaitan, maka siapa yang bermimpi akan sesuatu yang dibencinya, maka hendaklah ia meniup ke sebelah kirinya tiga kali, serta membaca: A'uuzubillaahi Minasy Syaithanir Rajiim, maka sesungguhnya mimpi itu tidak akan mendatangkan bahaya baginya."
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


      Pengajaran:

      Apabila kita bermimpi akan sesuatu perkara yang buruk, kita hendaklah menghembuskan nafas ke sebelah kiri sebanyak tiga kali, sambil membaca: "A'uuzubillaahi Minasy Syaithanir Rajiim."

      Dengan cara demikian, mimpi buruk itu tidak memudaratkan diri.
     
      Sesungguhnya mimpi yang buruk adalah datang daripada perbuatan syaitan.

erti sembahyang jumaat

  1. Sembahyang Jumaat ialah sembahyang dua rakaat yang dilakukan sekali seminggu, iaitu ditunaikan di dalam waktu Zuhur, pada hari Jumaat.

  2. Sembahyang ini dilakukan dengan syarat-syarat tertentu.

  3. Hukum sembahyang Jumaat adalah fardu ain, wajib ditunaikan, di atas ahli-ahlinya.