Friday, 22 April 2011

kisah nabi hud

  Dalam Surah Hud, Ayat 53 pula, Allah S.W.T. menyatakan jawapan kaum 'Ad itu kepada Nabi Hud a.s. :

      "Meraka menjawab : "Wahai Hud! Tiada engkau mendatangkan kepada kami suatu keterangan, sebab itu kami tidak suka meninggalkan tuhan kami dengan semata-mata perkataan engkau itu sahaja, dan tiadalah kami percaya kepada engkau."

      Akhirnya, Allah S.W.T. menurunkan malapetaka sebagai balasan azab kepada kaum 'Ad kerana mereka tidak mempercayai keesaan Allah S.W.T.

      Pada hari balasan azab itu, kaum 'Ad melihat awan hitam terbentang panjang di langit. Mereka sangat gembira kerana menyangka hujan akan turun untuk menyirami tanaman mereka.

      Mereka berkata, "Hujan akan turun. Tanaman kita akan subur. Segala haiwan ternakan kita akan dapat minum dengan secukupnya."

      Namun, Nabi Hud a.s. berkata kepada mereka, "Itu bukanlah awan yang akan membawa rahmat kepada kamu. Itu adalah awan yang akan membawa angin dengan penuh azab kepada kamu. Itulah seksaan yang sepedih-pedihnya."

      Angin yang tersangat kencang bertiup selama tujuh malam lapan hari. Usahkan manusia, haiwan, dan tumbuhan, gunung pun dihancurkan oleh angin yang sangat dahsyat itu.

      Dalam Al-Quran, Surah Al-Haqqah : Ayat 6-8, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

      "Adapun 'Ad dibinasakan dengan angin yang sangat keras, dan amat dinginnya, ditimpakan kepada mereka tujuh malam lapan hari tidak putus-putusnya. Maka kelihatan mereka bergelimpangan mati sebagai batang korma yang telah roboh. Habis binasalah semuanya kerana kederhakaan mereka juga."

      Allah S.W.T. telah membinasakan kaum 'Ad dari muka bumi ini.

      Namun demikian, Allah S.W.T. menyelamatkan Nabi Hud a.s. dan para pengikutnya. Ketika tiupan angin yang dahsyat itu berlaku, mereka terhindar daripada malapetaka tersebut.

      Selepas peristiwa itu, Nabi Hud a.s. dan para pengikutnya berpindah ke Hadramaut. Di sana Nabi Hud a.s. menetap sampai wafatnya.

No comments:

Post a Comment