Ancak akan dibawa ke Lubuk Kuin. Ancak itu berkaki. Ancak itu dipacak pada pangkal pokok jenerih besar di tepi lubuk itu. Jamuan pujaan ini dihadiahkan kepada hantu dan syaitan supaya tidak menggangu orang ramai.
Kepercayaan karut ini masih berterusan hingga sekarang. Walaupun zaman sudah berubah, tetapi kepercayaan karut ini masih ada lagi seperti dahulu.
Walaupun kawasan sawah itu ditakuti, tetapi sawah itulah menjadi tumpuan penduduk. Sawah itu menjadi punca rezeki. Di sawah itulah mereka tanam padi, tanam sayur, dan di kawasan tinggi pula mereka tanam tembakau.
Apabila selesai musim menuai, sawah itu menjadi padang permainan.
Apabila selesai musim menuai, cuaca akan berubah menjadi panas. Tanah sawah tidak berair. Kering. Pada waktu inilah penduduk akan menggunakan sawah sebagai tempat bermain.
Selain itu, pada waktu inilah juga penduduk bermain layang-layang, kertok, dan rebana. Manakala pada waktu malam pula terdapat persembahan dikir barat atau wayang kulit.
Pada waktu petang, padang sawah itu penuh dengan orang ramai. Bercampur aduk orang tua dan kanak-kanak. Di angkasa kelihatan layang-layang berwarna-warni.
Ada juga di antara mereka bermain bola sepak. Suasana itu akan menjadi sunyi-sepi semula apabila tiba pula musim menanam padi.
Pada suatu malam, penduduk kampung itu gempar apabila seorang budak hilang. Budak itu bernama Othman tetapi terkenal dengan panggilan Seman.
Seman sedang belajar dalam darjah lima. Dia belajar di Sekolah Kebangsaan Banggol Saman. Sekolah itu terletak dalam kampung itu juga.
Seman pergi ke sawah bermain layang-layang bersama-sama dengan kawan-kawannya. Tetapi dia tidak pulang, walaupun sudah malam. Biasanya, Seman sudah berada di rumah sebelum Maghrib. Tetapi petang itu, Seman tidak pulang, walaupun semua kawannya sudah pulang.
Ibunya, Mak Su Esah amat gelisah apabila Seman belum balik. Ayah Seman pula tidak ada di rumah. Dia pergi mencari buah keranji di Bukit Ayam-Ayam.
Mak Su Esah menunggu-nunggu Seman pulang. Dia masih mengharapkan Seman pulang. Mungkin Seman lambat sampai sahaja.
Namun begitu, perasaan cemas dan gelisah Mak Su tidak dapat dibendung lagi apabila jam sudah menunjukkan pukul sepuluh. Tentu ada sesuatu yang tidak baik menimpa Seman. Mak Su mengambil keputusan untuk memberitahu Tok Penghulu. Dia bergegas ke rumah Tok Penghulu yang terletak di hujung desa itu.
"Ada apa, Mak Su? Kenapa kelihatan cemas ini?" tanya Tok Penghulu, Pak Da Piya.
"Seman, anak saya hilang. Sejak petang tadi, dia tidak balik-balik," jelas Mak Su Esah dengan perasaan cemas. Dia amat mengharapkan Tok Penghulu membantunya segera.
"Seman hilang di mana?" tanya isteri Tok Penghulu. Dia meluru keluar dari dapur.
"Kalau tahu di mana, tidak hilanglah!" sampuk Tok Penghulu.
"Di mana suami kau?" tanya Tok Penghulu.
"Abang Dir pergi cari buah keranji. Belum pulang," jawab Mak Su Esah.
"Kamu duduk dahulu di rumah aku. Aku akan uruskan hal ini," kata Tok Penghulu lalu pergi.
"Mak Su duduk dulu. Tidak apa. Bersabarlah," kata isteri Tok Penghulu memujuk Mak Su Esah. Tok Penghulu kemudiannya mengerah orang kampung mencari Seman. Mereka membawa obor daun kelapa dan berbagai-bagai jenis senjata. Kumpulan penyelamat itu diketuai oleh seorang pawang.
Mereka berhimpun di depan rumah Tok Penghulu. Tok Pawang menyuruh mereka menghala ke sawah dahulu kerana Seman didapati hilang sewaktu bermain layang-layang di sawah.
Ada juga di antara pasukan penyelamat itu membawa tin kosong dan timba buruk. Sambil berjalan, mereka memukul tin dan timba buruk untuk menghalau hantu.
Kumpulan itu mulai bergerak. Mereka diketuai oleh Tok Pawang dan Tok Penghulu. Semuanya, orang tua-tua dan pemuda-pemuda kampung itu, seramai lima puluh orang.
Cahaya api dari karak daun kelapa (obor) menerangi kawasan yang mereka lalui. Bunyi bising ketukan tin kosong dan timba buruk bergema di seluruh kampung. Tambahan pula, waktu malam sungguh sunyi.
Hampir separuh malam kumpulan itu mencari, tetapi Seman tidak ditemui.
Tok Pawang kehabisan akal. Semua jampi serapah habis dibacanya. Semua ilmu di dada dicurahkan tetapi tidak berhasil.
"Aku rasa Seman sudah jauh meninggalkan kampung. Mungkin dia dibawa ke bukit oleh orang bunian," kata Tok Pawang ketika mereka berehat di sebuah wakaf di tengah sawah. "Aku rasa tidak. Mungkin budak ini hanya disembunyikan sahaja oleh Hantu Mek Pari. Hantu itu hendak main-main sahaja," jawab Tok Penghulu.
Pada masa itu, sekumpulan pemuda sedang menyuluh kawasan semak di tepi sawah. Mereka memanggil-manggil nama Seman.
"Seman! Seman!" jerit mereka.
Sudah habis kawasan semak mereka terokai. Rimbunan menerung mereka selak. Kubang dan perigi mereka jengok. Pokok-pokok besar mereka suluh. Namun, Seman tidak ditemui.
Akhirnya, kumpulan itu berehat bersama-sama dengan Tok Pawang di sekitar wakaf. Ada yang bertenggek di tepi wakaf. Ada yang terbaring di atas timbunan jerami. Mereka agak keletihan setelah semalam-malaman merayau-rayau.
"Mamat! Engkau pergi ke rumah aku. Suruh Mak Su masak air. Kita minum kopi," Tok Penghulu menyuruh salah seorang anak buahnya.
"Aku ikut!" kata Jusoh.
"Elok! Kamu berdua pergi. Apabila siap, bawa air dalam cerek dan juga gelas. Kalau ada makanan, bawa bersama," kata Tok Penghulu sebelum mereka pergi.
Suasana malam itu agak suram. Di langit kelihatan hitam. Angin bertiup perlahan-lahan. Seluruh kawasan itu juga gelap-gelita. Hanya api karak daun kepala yang masih memberi cahaya. Bulan tidak kelihatan, walaupun musim kemarau baharu bermula. Sekali-sekala kedengaran sayup-sayup suara anjing dari Kampung Cina di hujung sawah.
Tok Pawang menyalakan api. Dia menaburkan kemenyan ke dalam bara api. Kelihatan berasap. Bau kemenyan yang dibakar menyelinap masuk lubang hidung anggota penyelamat.
Tok Pawang membaca jampi sambil menabur beras kunyit. Jampi itu dibaca dengan nyaring. Oleh yang demikian dapat didengar oleh semua anggota kumpulan itu. Namun, apa maksud bacaannya tidaklah diketahui.
Suasana masih tidak berubah. Tetap sunyi dan sejuk. Ada dua tiga orang anggota penyelamat terlena di atas timbunan jerami. Ada yang sudah berdengkur.
"Sudah tidur? Baik-baik sedikit obor itu! Nanti apinya menyalakan jerami. Masaklah kamu!" Tok Penghulu memberi amaran kepada tiga orang pemuda yang terlena di atas timbunan jerami.
"Kopi pun belum sampai. Mereka itu pergi tanam kopi atau buat air kopi?" rungut Tok Penghulu apabila dirasakan masa Mamat pergi sudah agak lama. Waktu itu hampir dinihari. Udara semakin sejuk. Embun jantan mulai berderai turun. Kaki langit kelihatan agak tenang. Udara berubah sejuk. Suasana sunyi sepi.
Tiba-tiba suasana sunyi dipecahkan dengan suatu suara. Suara itu kedengaran bergema di udara seperti orang meminta tolong. Semua anggota kumpulan itu terkejut dan terbangun. Mereka segera mendekati wakaf.
Tok Pawang dan Tok Penghulu memasang telinga. Mereka cuba meneliti dan mengesan arah suara itu.
"Aku rasa suara itu datang dari arah barat. Dari pokok kerian sebanjar itu," bisik Tok Penghulu.
Semua anggota penyelamat memasang telinga. Mereka cuba pastikan pendapat Tok Penghulu.
"Ya! Ya! Suara itu datang dari situ. Mari kita pergi tengok," kata Tok Pawang.
Tok Pawang dan Tok Penghulu terus pergi. Semua anggota mengekori dari belakang. Mereka bergerak dengan senyap kerana suara itu tenggalam timbul mengikut tiupan angin.
Mereka semakin menghampiri barisan pokok kerian. Suara itu semakin jelas. Walaupun agak takut, Tok Pawang dan Tok Penghulu terus mara. Suara itu semakin jelas. Bunyinya arah ke bawah.
"Tolong! Tolong!" bunyi suara itu dalam keadaan serak dan lantang.
"Ke arah itu!" kata Tok Pawang.
"Di situ ada telaga buruk," kata Tok Penghulu.
Tok Pawang tiba di situ. Ada sebuah telaga buruk yang sudah kering airnya. Telaga itu sudah lama terbiar dan tidak digunakan.
Suara itu memang datang dari dalam telaga itu. Tok Pawang dan Tok Penghulu berdiri di tebing telaga. Obornya disuluh ke dalam telaga. Orang lain semua berada di belakang Tok Pawang. Ada juga bersama-sama menyuluh ke dalam telaga.
"Ada budak! Cepat ambil tali. Kita naikkan," seru Tok Pawang.
Dua tiga orang pemuda turun ke dalam telaga. Tali dihulurkan. Budak itu berjaya dinaikkan."Seman! Seman! Kita sudah jumpa," laung Tok Penghulu sebaik-baik sahaja meneliti wajah budak itu. Seman separuh pengsan.
Mereka mengusung Seman ke atas wakaf. Tok Pawang sibuk menjampi Seman. Dia menyapu air pada muka dan kepala Seman. Seman kemudiannya agak pulih. Dia diberi minum kopi dan makan roti.
Selepas itu, Seman diusung pulang. Di rumah Seman sudah ramai orang kampung menunggu. Ibu Seman amat gembira melihat Seman tidak mengalami apa-apa kecederaan. Seman menceritakan semua kejadian itu kepada ibunya.
Sebenarnya, Seman tidak disembunyikan oleh hantu. Dia terjatuh ke dalam telaga buruk sewaktu melarikan waunya. Dia asyik melihat ke atas. Dia tidak sedar di bawah ada telaga buruk.
Seman tidak dapat naik kerana telaga itu dalam. Puas dia mencuba tetapi gagal. Mujur di dalam telaga itu tidak ada ular senduk bersarang.
Setelah hampir separuh malam Seman di dalam telaga itu, dia kepenatan dan lapar lalu pengsan. Apabila hampir subuh, Seman sedar semula lalu dia menjerit minta tolong. Suara itulah telah didengar oleh anggota penyelamat.
Mulai hari itu, Seman sudah serik bermain layang-layang pada waktu senja. Nasihat ibunya mesti dipatuhi. Orang yang suka membantah cakap ibu mudah ditimpa bala.
No comments:
Post a Comment