Sunday, 24 April 2011

apakah al-quran?

  1. Al-Quran ialah Kitab Suci yang terakhir diturunkan oleh Allah S.W.T.
  2. Kitab Suci Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W.
  3. Kitab Suci Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. melalui Malaikat Jibril a.s.
  4. Kitab Suci diturunkan dalam bahasa Arab.
  5. Membaca Kitab Suci Al-Quran adalah suatu ibadat.
rukun iman


  1. Erti iman ialah percaya dengan yakin.
  2. Tidak sempurna Islam seseorang kiranya tidak beriman.
  3. Oleh yang demikian, orang Islam hendaklah mempercayai Rukun Iman yang terdapat di dalam Islam.
  4. Terdapat sebanyak enam perkara di dalam Rukun Iman yang wajib dipercayai oleh orang Islam.
  5. Rukun Iman yang wajib dipercayai ialah:

    (a) Percaya kepada Allah.
    (b) Percaya kepada Malaikat.
    (c) Percaya kepada Kitab Allah.
    (d) Percaya kepada Rasul.
    (e) Percaya kepada Hari Akhirat.
    (f) Percaya kepada Qada dan Qadar.

 

cara sembahyang

untuk lelaki

  1. Lelaki hendaklah merenggangkan kedua-dua tangan dari ketiaknya ketika mengangkat takbir.

  2. Lelaki hendaklah merenggangkan kedua-dua paha dari perutnya ketika sujud.

  3. Lelaki boleh menyaringkan atau menguatkan bacaan ketika sembahyang.

  4. Jika sembahyang berimam, orang lelaki boleh mengingatkan imam yang terlupa atau tersilap dengan menyebut "Subhanallah" dengan niat berzikir.

  5. Aurat lelaki adalah di antara pusat dan lutut.
untuk perempuan
  1. Perempuan perlu merapatkan kedua-dua tangannya ketika mengangkat takbir.

  2. Perempuan perlu merapatkan kedua-dua paha ke perutnya ketika sujud.

  3. Perempuan tidak boleh menyaringkan atau menguatkan bacaan dalam sembahyang.

  4. Perempuan hanya boleh menegur atau mengingatkan imam dengan cara menepuk tangan kirinya seberapa kerap sekalipun.

  5. Aurat perempuan adalah seluruh tubuhnya, kecuali muka dan tapak tangannya.

Saturday, 23 April 2011

budak nakal mengembala biri-biri

     Seorang budak nakal disuruh oleh bapanya supaya menjaga sekawan biri-biri.

      "Hari ini, ayah hendak pergi ke kebun. Kamu tolong jaga biri-biri. Bawa biri-biri itu pergi makan rumput di padang," kata bapanya.
Budak nakal itu membawa biri-biri tersebut ke padang. Dia malas hendak mengembala biri-biri itu.

      Apabila tiba di padang, timbul niat dalam hatinya hendak memperolok-olokkan orang kampung.
  "Tolong! Tolong! Serigala hendak makan biri-biri saya," dia menjerit dengan sekuat hati. Beberapa orang kampung datang untuk memberikan pertolongan.    "Saya hanya olok-olok sahaja," kata budak nakal itu lagi.

        Orang kampung segera pulang

      "Ha! Ha! Ha!" budak nakal itu ketawa.                          Tidak lama kemudian, mereka mendengar budak nakal itu menjerit meminta pertolongan sekali lagi. Mereka segera datang. Tetapi rupa-rupanya budak nakal itu berolok-olok sekali lagi.

      Mereka pun terus pulang.
Sejurus selepas itu, seekor serigala datang.

      Budak nakal itu menjerit-jerit meminta pertolongan. Tetapi orang kampung tidak datang lagi. Mereka menyangka budak nakal itu hanyalah berolok-olok sahaja.                                                   

   Budak nakal itu berasa sangat menyesal. Beberapa ekor biri-birinya mati dibaham serigala. Itulah akibat jika suka berolok-olok.                                                     NILAI MURNI

      Jangan sekali-kali cuba bercakap bohong. Walaupun sekali sahaja kita berbohong, orang tidak akan percaya lagi untuk selama-lamanya.

      Jikalau kita selalu bercakap benar, kita akan sentiasa dipercayai dan dipandang mulia.

doa di akhir sembahyang (sesudah tahiyyat sebelum salam)


      "Wahai Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada Engkau daripada azab kubur, dan kami berlindung kepada Engkau daripada gangguan dajal, dan kami berlindung kepada Engkau daripada tipu daya hidup dan kematian. Wahai Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada Engkau daripada berbagai-bagai sumber dosa dan kesukaran hidup."

Friday, 22 April 2011

adab mendengar azan

  1. Berdiam diri.

  2. Menjawab seruan azan.

  3. Berdoa setelah selesai azan.

  4. Berdoa memohon hajat kerana doa antara azan dengan qamat dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

apabila mendapat mimpi buruk

Rasulullah S.A.W. bersabda:

      "Mimpi yang baik itu daripada Allah dan mimpi yang buruk itu daripada syaitan, maka siapa yang bermimpi akan sesuatu yang dibencinya, maka hendaklah ia meniup ke sebelah kirinya tiga kali, serta membaca: A'uuzubillaahi Minasy Syaithanir Rajiim, maka sesungguhnya mimpi itu tidak akan mendatangkan bahaya baginya."
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


      Pengajaran:

      Apabila kita bermimpi akan sesuatu perkara yang buruk, kita hendaklah menghembuskan nafas ke sebelah kiri sebanyak tiga kali, sambil membaca: "A'uuzubillaahi Minasy Syaithanir Rajiim."

      Dengan cara demikian, mimpi buruk itu tidak memudaratkan diri.
     
      Sesungguhnya mimpi yang buruk adalah datang daripada perbuatan syaitan.

erti sembahyang jumaat

  1. Sembahyang Jumaat ialah sembahyang dua rakaat yang dilakukan sekali seminggu, iaitu ditunaikan di dalam waktu Zuhur, pada hari Jumaat.

  2. Sembahyang ini dilakukan dengan syarat-syarat tertentu.

  3. Hukum sembahyang Jumaat adalah fardu ain, wajib ditunaikan, di atas ahli-ahlinya.

kisah nabi hud

  Dalam Surah Hud, Ayat 53 pula, Allah S.W.T. menyatakan jawapan kaum 'Ad itu kepada Nabi Hud a.s. :

      "Meraka menjawab : "Wahai Hud! Tiada engkau mendatangkan kepada kami suatu keterangan, sebab itu kami tidak suka meninggalkan tuhan kami dengan semata-mata perkataan engkau itu sahaja, dan tiadalah kami percaya kepada engkau."

      Akhirnya, Allah S.W.T. menurunkan malapetaka sebagai balasan azab kepada kaum 'Ad kerana mereka tidak mempercayai keesaan Allah S.W.T.

      Pada hari balasan azab itu, kaum 'Ad melihat awan hitam terbentang panjang di langit. Mereka sangat gembira kerana menyangka hujan akan turun untuk menyirami tanaman mereka.

      Mereka berkata, "Hujan akan turun. Tanaman kita akan subur. Segala haiwan ternakan kita akan dapat minum dengan secukupnya."

      Namun, Nabi Hud a.s. berkata kepada mereka, "Itu bukanlah awan yang akan membawa rahmat kepada kamu. Itu adalah awan yang akan membawa angin dengan penuh azab kepada kamu. Itulah seksaan yang sepedih-pedihnya."

      Angin yang tersangat kencang bertiup selama tujuh malam lapan hari. Usahkan manusia, haiwan, dan tumbuhan, gunung pun dihancurkan oleh angin yang sangat dahsyat itu.

      Dalam Al-Quran, Surah Al-Haqqah : Ayat 6-8, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

      "Adapun 'Ad dibinasakan dengan angin yang sangat keras, dan amat dinginnya, ditimpakan kepada mereka tujuh malam lapan hari tidak putus-putusnya. Maka kelihatan mereka bergelimpangan mati sebagai batang korma yang telah roboh. Habis binasalah semuanya kerana kederhakaan mereka juga."

      Allah S.W.T. telah membinasakan kaum 'Ad dari muka bumi ini.

      Namun demikian, Allah S.W.T. menyelamatkan Nabi Hud a.s. dan para pengikutnya. Ketika tiupan angin yang dahsyat itu berlaku, mereka terhindar daripada malapetaka tersebut.

      Selepas peristiwa itu, Nabi Hud a.s. dan para pengikutnya berpindah ke Hadramaut. Di sana Nabi Hud a.s. menetap sampai wafatnya.

pantun

Hidang nasi di dalam talam,
    Di dalam kuali daging rusa;
Sifat mulia orang Islam,
    Senyuman diberi bila bersua.

kehidupan nabi muhammad s.a.w

Nabi Muhammmad S.A.W. merupakan nabi dan rasul terakhir yang diutuskan Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia dan pembawa rahmat ke seluruh alam.

      Baginda dilahirkan di Kota Mekah pada Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April Tahun 571 Masihi. Baginda berbangsa Arab Quraish daripada keturunan Bani Hashim. Ibundanya bernama Aminah dan ayahandanya bernama Abdullah.

      Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. membawa sinar kepada seluruh umat manusia dan dimuliakan oleh para malaikat di langit. Baginda telah membawa perubahan dan mengajar manusia untuk mengenal Allah, melakukan kebaikan, dan meninggalkan kejahatan. Malah, Baginda mengajar umatnya supaya menghiasi diri dengan akhlak yang mulia.

      Sebelum kelahiran baginda, ibunya Aminah sering bermimpi. Suatu ketika, Aminah bermimpi melihat cahaya keluar daripada tubuhnya. Cahaya tersebut semakin lama semakin terang sehingga Aminah dapat melihat Istana di Basrah. Pada masa yang lain, Aminah juga pernah bermimpi ternampak malaikat Jibril.

      Aminah disuruh oleh Jibril supaya menamakan anaknya Ahmad dan memberitahunya bahawa anak yang akan dilahirkannya itu bakal menjadi nabi. Aminah percaya dan yakin bahawa mimpinya itu mimpi yang benar. Tambahan pula, sepanjang mengandungkan Nabi Muhammad, Aminah tidak merasa berat ataupun sakit.

      Keajaiban terus dirasakan Aminah kerana semasa melahirkan Nabi Muhammad S.A.W. Aminah juga tidak merasa sakit. Nabi dilahirkan dalam keadaan meniarap dan sudah berkhatan. Nabi juga tidak menangis semasa dilahirkan, kepalanya mendongak ke atas, dua jarinya terangkat-angkat seperti mengira sesuatu.

      Malah, semasa kelahiran Nabi, api berhala yang disembah oleh orang kafir telah padam serta merta.

      Nabi Muhammad dilahirkan di rumah datuknya, Abdul Muttalib. Bapa baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika nabi berusia dua bulan dalam kandungan ibunya. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan sebagai anak yatim.

      Setelah dilahirkan, Nabi Muhammad telah disusukan oleh ibunya Aminah selama tiga hari. Kemudian baginda disusukan pula oleh ibu susuannya yang pertama, iaitu Thuwaibatul Aslamiyah. Tempoh penyusuannya dengan Thuwaibatul Aslamiyah hanyalah seketika sahaja, sementara menunggu ibu susuan dari desa.

      Tidak lama kemudian, Nabi Muhammad S.A.W. diserahkan kepada ibu susuannya yang baru, iaitu Halimatun Saadiah.

      Aminah menyerahkan Nabi Muhammad S.A.W. kepada ibu susuan kerana sudah menjadi kebiasaan orang-orang Arab pada masa itu mengupah ibu susuan untuk menyusukan anak-anak mereka. Halimatun Saadiah telah membawa Nabi Muhammad S.A.W. pulang ke perkampungannya, iaitu perkampungan  Bani Saad.

      Semenjak kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. perkampungan Bani Saad telah banyak berubah.

      Sebelum Halimatun Saadiah pergi ke Mekah untuk mencari anak susuan, perkampungan itu telah dilanda kemarau yang teruk. Ini menyebabkan berlaku kekurangan makanan, binatang ternakannya menjadi kurus, dan tanaman mereka tidak menjadi.

      Namun begitu, setelah kedatangan Nabi, walaupun perkampungan itu dilanda kemarau, kambing-kambing peliharaan mereka menjadi gemuk dan sarat dengan susu. Manakala tanaman mereka pula amat subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.

      Sungguh luar biasa! Perkampungan Bani Saad yang dahulunya tandus telah bertukar menjadi bumi yang subur dan makmur.

      Nabi tinggal di perkampungan Bani Saad selama lima tahun.   Ketika Nabi Muhammad S.A.W. berumur tiga tahun, telah berlaku suatu peristiwa yang menakjubkan pada dirinya. Sewaktu Nabi Muhammad S.A.W. sedang bermain-main dengan saudara susuan dan kawan-kawannya, tiba-tiba datang dua orang lelaki berpakaian putih mendekati Baginda. Kedua-dua lelaki tersebut mengangkat dan menelentangkan baginda.

      Dada dan perut Nabi telah dibelah. Hati Baginda dicucikan di dalam bekas emas yang berisi air zam zam. Saudara susuannya terus pergi mendapatkan ibunya dalam keadaan ketakutan dan memberitahu hal tersebut. Kejadian itu benar-benar merungsingkan Halimatun Saadiah.

      Sebenarnya, kedua-dua lelaki tersebut adalah malaikat yang diperintahkan oleh Allah untuk menyucikan hati Nabi Muhammad S.A.W. daripada kejahatan sebagai persediaan untuk baginda menjadi Rasulullah.

      Setelah berusia lima tahun, tibalah masanya Nabi Muhammad S.A.W. akan diserahkan kepada ibunya, Aminah. Halimatun Saadiah berasa sangat sedih. Keluarganya amat sayang kepada Nabi. Selama lima tahun Nabi Muhammad S.A.W. diasuh dengan penuh kasih sayang dan dididik dengan akhlak yang terpuji.

      Ketika tiba di Kota Mekah, Nabi Muhammad telah hilang dalam kumpulan orang ramai yang berpusu-pusu dekat pintu gerbang Kota Mekah.

      Halimatun Saadiah berasa amat sedih dengan kehilangan tersebut, lalu menemui Abdul Muttalib. Semua penduduk Mekah membantu mencari Nabi Muhammad. Akhirnya, baginda ditemui oleh Waraqah bin Naufal. Ketika ditemui, Nabi sedang asyik melihat ke langit.

      Abdul Muttalib segera mendukung nabi dan tawaf mengelilingi Kaabah. Kemudian nabi dibawa menemuinya ibunya. Aminah berasa sangat gembira kerana dapat bertemu kembali dengan putera kesayangannya.

      Sejak itu, tinggallah Nabi Muhammad S.A.W. bersama ibu kandungnya dan diasuh oleh Ummu Aiman.

      Pada suatu hari, ibunya mengajak Nabi ke Yathrib untuk menziarahi pusara bapanya, Abdullah bin Abdul Muttalib. Mereka membawa Ummu Aiman bersama. Mereka berada di sana selama sebulan.

      Dalam perjalanan pulang ke Mekah, Aminah jatuh sakit dan meninggal dunia di Abwa'. Aminah dikebumikan di situ. Setelah itu, pulanglah Nabi bersama Ummu Aiman ke Mekah sebagai anak yatim piatu.

            Ummu Aiman menyerahkan Nabi Muhammad S.A.W. kepada datuknya, Abdul Muttalib. Datuknya telah memelihara Nabi dengan penuh kasih sayang. Namun begitu, Ummu Aiman masih lagi mengasuh Nabi. Tidak lama bersama datuknya, sekali lagi Nabi Muhammad S.A.W. kehilangan orang tersayang apabila datuknya jatuh sakit dan meninggal dunia. Ketika itu, Nabi berusia lapan tahun.

      Nabi Muhammad S.A.W. amat sedih dengan kejadian itu. Namun, Baginda terus tabah menghadapi ujian dan dugaan hidup.

      Setelah datuknya meninggal, maka Nabi Muhammad S.A.W. dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Abu Talib merupakan seorang yang dihormati dan dipandang mulia oleh orang Quraish. Namun begitu, Abu Talib bukanlah seorang yang kaya-raya. Kehidupannya susah dan mempunyai anak yang ramai.

      Semasa di bawah jagaan Abu Talib, Nabi Muhammad S.A.W. telah belajar mengembala kambing dan berniaga. Baginda juga mengambil upah mengembala kambing untuk membantu bapa saudaranya.

      Ketika berusia 12 tahun, Nabi Muhammad S.A.W. telah dibawa oleh bapa saudaranya berniaga di Syam. Dalam perjalanan, mereka telah bertemu seorang paderi Nasrani bernama Buhaira. Paderi itu memberitahu bahawa Muhammad bakal menjadi seorang Nabi. Dia berpesan agar Abu Talib menjaga Nabi Muhammad S.A.W. dengan baik.

      Mulai saat itu, Abu Talib menjaga Nabi Muhammad S.A.W. dengan penuh kasih sayang dan melindunginya sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W. dewasa.

doa sebelum belajar


      "Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmu dan luaskanlah fahamku. Wahai Tuhanku, lapangkan dadaku dan permudahkan urusanku. Ya Allah, keluarkanlah kami daripada kegelapan ragu-ragu dan muliakan kami dengan cahaya pengertian, bukakanlah bagi kami makrifat ilmu, berilah cahaya kepada hati kami sebagaimana Engkau memberi cahaya kepada matahari dan bulan, dan mudahkanlah bagiku pintu-pintu kurniaan-Mu, wahai Yang Maha Pengasih, daripada kalangan orang yang mengasihi."

doa jika sakit kepala atau demam



      "Dengan nama Allah yang Maha Besar, kami berlindung kepada Allah Yang Maha Agong daripada kesakitan urat yang berdarah dan kesakitan panas api neraka."

hantu telaga buruk (cerita)

   Ancak akan dibawa ke Lubuk Kuin. Ancak itu berkaki. Ancak itu dipacak pada pangkal pokok jenerih besar di tepi lubuk itu. Jamuan pujaan ini dihadiahkan kepada hantu dan syaitan supaya tidak menggangu orang ramai.

      Kepercayaan karut ini masih berterusan hingga sekarang. Walaupun zaman sudah berubah, tetapi kepercayaan karut ini masih ada lagi seperti dahulu.

      Walaupun kawasan sawah itu ditakuti, tetapi sawah itulah menjadi tumpuan penduduk. Sawah itu menjadi punca rezeki. Di sawah itulah mereka tanam padi, tanam sayur, dan di kawasan tinggi pula mereka tanam tembakau.

      Apabila selesai musim menuai, sawah itu menjadi padang permainan.

      Apabila selesai musim menuai, cuaca akan berubah menjadi panas. Tanah sawah tidak berair. Kering. Pada waktu inilah penduduk akan menggunakan sawah sebagai tempat bermain.

      Selain itu, pada waktu inilah juga penduduk bermain layang-layang, kertok, dan rebana. Manakala pada waktu malam pula terdapat persembahan dikir barat atau wayang kulit.

      Pada waktu petang, padang sawah itu penuh dengan orang ramai. Bercampur aduk orang tua dan kanak-kanak. Di angkasa kelihatan layang-layang berwarna-warni.

      Ada juga di antara mereka bermain bola sepak.   Suasana itu akan menjadi sunyi-sepi semula apabila tiba pula musim menanam padi.

      Pada suatu malam, penduduk kampung itu gempar apabila seorang budak hilang. Budak itu bernama Othman tetapi terkenal dengan panggilan Seman.

      Seman sedang belajar dalam darjah lima. Dia belajar di Sekolah Kebangsaan  Banggol Saman. Sekolah itu terletak dalam kampung itu juga.

      Seman pergi ke sawah bermain layang-layang bersama-sama dengan kawan-kawannya. Tetapi dia tidak pulang, walaupun sudah malam. Biasanya, Seman sudah berada di rumah sebelum Maghrib. Tetapi petang itu, Seman tidak pulang, walaupun semua kawannya sudah pulang.

      Ibunya, Mak Su Esah amat gelisah apabila Seman belum balik. Ayah Seman pula tidak ada di rumah. Dia pergi mencari buah keranji di Bukit Ayam-Ayam.

      Mak Su Esah menunggu-nunggu Seman pulang. Dia masih mengharapkan Seman pulang. Mungkin Seman lambat sampai sahaja.

      Namun begitu, perasaan cemas dan gelisah Mak Su tidak dapat dibendung lagi apabila jam sudah menunjukkan pukul sepuluh. Tentu ada sesuatu yang tidak baik menimpa Seman. Mak Su mengambil keputusan untuk memberitahu Tok Penghulu. Dia bergegas ke rumah Tok Penghulu yang terletak di hujung desa itu.

      "Ada apa, Mak Su? Kenapa kelihatan cemas ini?" tanya Tok Penghulu, Pak Da Piya.

      "Seman, anak saya hilang. Sejak petang tadi, dia tidak balik-balik," jelas Mak Su Esah dengan perasaan cemas. Dia amat mengharapkan Tok Penghulu membantunya segera.

      "Seman hilang di mana?" tanya isteri Tok Penghulu. Dia meluru keluar dari dapur.

      "Kalau tahu di mana, tidak hilanglah!" sampuk Tok Penghulu.

      "Di mana suami kau?" tanya Tok Penghulu.

      "Abang Dir pergi cari buah keranji. Belum pulang," jawab Mak Su Esah.

      "Kamu duduk dahulu di rumah aku. Aku  akan uruskan hal ini," kata Tok Penghulu lalu pergi.

      "Mak Su duduk dulu. Tidak apa. Bersabarlah," kata isteri Tok Penghulu memujuk Mak Su Esah. Tok Penghulu kemudiannya mengerah orang kampung mencari Seman. Mereka membawa obor daun kelapa dan berbagai-bagai jenis senjata. Kumpulan penyelamat itu diketuai oleh seorang pawang.

      Mereka berhimpun di depan rumah Tok Penghulu. Tok Pawang menyuruh mereka menghala ke sawah dahulu kerana Seman didapati hilang sewaktu bermain layang-layang di sawah.

      Ada juga di antara pasukan penyelamat itu membawa tin kosong dan timba buruk. Sambil berjalan, mereka memukul tin dan timba buruk untuk menghalau hantu.

      Kumpulan itu mulai bergerak. Mereka diketuai oleh Tok Pawang dan Tok Penghulu. Semuanya, orang tua-tua dan pemuda-pemuda kampung itu, seramai lima puluh orang.

      Cahaya api dari karak daun kelapa (obor) menerangi kawasan yang mereka lalui. Bunyi bising ketukan tin kosong dan timba buruk bergema di seluruh kampung. Tambahan pula, waktu malam sungguh sunyi.

      Hampir separuh malam kumpulan itu mencari, tetapi Seman tidak ditemui.

      Tok Pawang kehabisan akal. Semua jampi serapah habis dibacanya. Semua ilmu di dada dicurahkan tetapi tidak berhasil.

      "Aku rasa Seman sudah jauh meninggalkan kampung. Mungkin dia dibawa ke bukit oleh orang bunian," kata Tok Pawang ketika mereka berehat di sebuah wakaf di tengah sawah. "Aku rasa tidak. Mungkin budak ini hanya disembunyikan sahaja oleh Hantu Mek Pari. Hantu itu hendak main-main sahaja," jawab Tok Penghulu.

      Pada masa itu, sekumpulan pemuda sedang menyuluh kawasan semak di tepi sawah. Mereka memanggil-manggil nama Seman.

      "Seman! Seman!" jerit mereka.

      Sudah habis kawasan semak mereka terokai. Rimbunan menerung mereka selak. Kubang dan perigi mereka jengok. Pokok-pokok besar mereka suluh. Namun, Seman tidak ditemui.

      Akhirnya, kumpulan itu berehat bersama-sama dengan Tok Pawang di sekitar wakaf. Ada yang bertenggek di tepi wakaf. Ada yang terbaring di atas timbunan jerami. Mereka agak keletihan setelah semalam-malaman merayau-rayau.

      "Mamat! Engkau pergi ke rumah aku. Suruh Mak Su masak air. Kita minum kopi," Tok Penghulu menyuruh salah seorang anak buahnya.

      "Aku ikut!" kata Jusoh.

      "Elok! Kamu berdua pergi. Apabila siap, bawa air dalam cerek dan juga gelas. Kalau ada makanan, bawa bersama," kata Tok Penghulu sebelum mereka pergi.

      Suasana malam itu agak suram. Di langit kelihatan hitam. Angin bertiup perlahan-lahan. Seluruh kawasan itu juga gelap-gelita. Hanya api karak daun kepala yang masih memberi cahaya. Bulan tidak kelihatan, walaupun musim kemarau baharu bermula. Sekali-sekala kedengaran sayup-sayup suara anjing dari Kampung Cina di hujung sawah.

      Tok Pawang menyalakan api. Dia menaburkan kemenyan ke dalam bara api. Kelihatan berasap. Bau kemenyan yang dibakar menyelinap masuk lubang hidung anggota penyelamat.

      Tok Pawang membaca jampi sambil menabur beras kunyit. Jampi itu dibaca dengan nyaring. Oleh yang demikian dapat didengar oleh semua anggota kumpulan itu. Namun, apa maksud bacaannya tidaklah diketahui.

      Suasana masih tidak berubah. Tetap sunyi dan sejuk. Ada dua tiga orang anggota penyelamat terlena di atas timbunan jerami. Ada yang sudah berdengkur.

     "Sudah tidur? Baik-baik sedikit obor itu! Nanti apinya menyalakan jerami. Masaklah kamu!" Tok Penghulu memberi amaran kepada tiga orang pemuda yang terlena di atas timbunan jerami.

      "Kopi pun belum sampai. Mereka itu pergi tanam kopi atau buat air kopi?" rungut Tok Penghulu apabila dirasakan masa Mamat pergi sudah agak lama.   Waktu itu hampir dinihari. Udara semakin sejuk. Embun jantan mulai berderai turun. Kaki langit kelihatan agak tenang. Udara berubah sejuk. Suasana sunyi sepi.

      Tiba-tiba suasana sunyi dipecahkan dengan suatu suara. Suara itu kedengaran bergema di udara seperti orang meminta tolong. Semua anggota kumpulan itu terkejut dan terbangun. Mereka segera mendekati wakaf.

      Tok Pawang dan Tok Penghulu memasang telinga. Mereka cuba meneliti dan mengesan arah suara itu.

      "Aku rasa suara itu datang dari arah barat. Dari pokok kerian sebanjar itu," bisik Tok Penghulu.

      Semua anggota penyelamat memasang telinga. Mereka cuba pastikan pendapat Tok Penghulu.

     "Ya! Ya! Suara itu datang dari situ. Mari kita pergi tengok," kata Tok Pawang.
      Tok Pawang dan Tok Penghulu terus pergi. Semua anggota mengekori dari belakang. Mereka bergerak dengan senyap kerana suara itu tenggalam timbul mengikut tiupan angin.

      Mereka semakin menghampiri barisan pokok kerian. Suara itu semakin jelas. Walaupun agak takut, Tok Pawang dan Tok Penghulu terus mara. Suara itu semakin jelas. Bunyinya arah ke bawah.

      "Tolong! Tolong!" bunyi suara itu dalam keadaan serak dan lantang.

      "Ke arah itu!" kata Tok Pawang.

      "Di situ ada telaga buruk," kata Tok Penghulu.

      Tok Pawang tiba di situ. Ada sebuah telaga buruk yang sudah kering airnya. Telaga itu sudah lama terbiar dan tidak digunakan.

      Suara itu memang datang dari dalam telaga itu. Tok Pawang dan Tok Penghulu berdiri di tebing telaga. Obornya disuluh ke dalam telaga. Orang lain semua berada di belakang Tok Pawang. Ada juga bersama-sama menyuluh ke dalam telaga.

      "Ada budak! Cepat ambil tali. Kita naikkan," seru Tok Pawang.

      Dua tiga orang pemuda turun ke dalam telaga. Tali dihulurkan. Budak itu berjaya dinaikkan."Seman! Seman! Kita sudah jumpa," laung Tok Penghulu sebaik-baik sahaja meneliti wajah budak itu. Seman separuh pengsan.

      Mereka mengusung Seman ke atas wakaf. Tok Pawang sibuk menjampi Seman. Dia menyapu air pada muka dan kepala Seman. Seman kemudiannya agak pulih. Dia diberi minum kopi dan makan roti.

      Selepas itu, Seman diusung pulang. Di rumah Seman sudah ramai orang kampung menunggu. Ibu Seman amat gembira melihat Seman tidak mengalami apa-apa kecederaan. Seman menceritakan semua kejadian itu kepada ibunya.

      Sebenarnya, Seman tidak disembunyikan oleh hantu. Dia terjatuh ke dalam telaga buruk sewaktu melarikan waunya. Dia asyik melihat ke atas. Dia tidak sedar di bawah ada telaga buruk.

      Seman tidak dapat naik kerana telaga itu dalam. Puas dia mencuba tetapi gagal. Mujur di dalam telaga itu tidak ada ular senduk bersarang.

      Setelah hampir separuh malam Seman di dalam telaga itu, dia kepenatan dan lapar lalu pengsan. Apabila hampir subuh, Seman sedar semula lalu dia menjerit minta tolong. Suara itulah telah didengar oleh anggota penyelamat.

      Mulai hari itu, Seman sudah serik bermain layang-layang pada waktu senja. Nasihat ibunya mesti dipatuhi. Orang yang suka membantah cakap ibu mudah ditimpa bala.

pantun nasihat.

Pinang muda dibelah dua
Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua
Ajaran baik jangan diubah

Orang tua patut disegani
Boleh mendapat ajar nasihat
Ular yang bisa tidak begini
Bisa lagi lidah yang jahat

Ramai orang menggali perigi
Ambil buluh lalu diikat
Ilmu dicari tak akan rugi
Buat bekalan dunia akhirat

Tuan Haji memakai jubah
Singgah sembahyang di tepi lorong
Kalau sudah kehendak Allah
Rezeki segenggam jadi sekarung